Anggota Lahir Cacat Kita Terasa

Anggota lahir kalau dia cacat kita terasa
Atau dia sakit kita terasa juga
Cacat atau sakit disebabkan kena duri, kena kayu, terpijak paku
Terjatuh atau terantuk
Kerana cacat atau sakit kita terasa, cepat-cepat kita mengubatnya
Anggota batin atau hakikat diri engkau cacat atau sakit tidak terasa
Kerana itulah engkau tidak terfikir untuk mengubatnya
Cacat atau sakit disebabkan ilmu, kedudukan atau harta
Juga disebabkan oleh pujian, kecantikan muka atau sasa badannya
Atau dia rosak disebabkan oleh bala bencana yang kita tidak sabar menanggungnya atau tidak redha
Adakalanya dia cacat dikeranakan oleh ibadah yang banyak, hati pun berbunga
Rasa takut dengan Allah pun hilang bahkan terasa aman
Tidak kurang juga ia cacat rasa bertuhan
Juga tidak rasa kehambaan merosakkan hati dan jiwa
Rosak anggota lahir, habis di dunia sahaja
Bahkan ia boleh mendatangkan pahala kepada seseorang hamba, ia masih untung juga
Rosak hati atau jasad batin, ia jadi derhaka
Bala bencananya lebih besar lagi, kerana berdosa akhirnya ke Neraka
Jagalah jasad batin jangan sampai ia cacat
Lebih-lebih lagi rosak
Ia adalah hakikat diri kita
Ia kekal abadi hingga ke Akhirat
Dialah yang akan diazab atau menerima rahmat di Syurga
[Continue reading...]

Kemajuan Tanpa Akhlak

Apalah erti kemajuan, pembangunan, pencakar langit, gedung besar-besar,
Akhlak manusia menyapu bumi
Apalah ertinya negara cantik
Akhlak manusia jelik
Sains teknologi tinggi, canggih sekali
Hidup tidak mengerti, nafsi-nafsi menjadi-jadi
Ilmu banyak untuk kepentingan diri
Amalan Akhirat kering-kontang di musim kemarau
Taman perumahannya indah teratur sekali
Penghuni sendiri-sendiri, satu sama lain tidak peduli-mempeduli
Ya, kemakmuran material kita akui terbeliak mata dunia
Kemakmuran hati punah sama sekali
Taman mahmudah musnah,
Taman mazmumah berdiri gagah
Lahirlah gejala masyarakat yang tidak sihat
Membunuh kasih sayang
Memusnahkan keamanan dan keharmonian
Jiwa diburu ketakutan, kebimbangan di mana-mana.
[Continue reading...]

Anehnya Manusia

Anehnya manusia ini
Di dalam perlu-memerlukan satu sama lain ada pengkhianatan
Di dalam bekerjasama ada jatuh-menjatuhkan
Manusia tidak boleh hidup keseorangan
Perlu bermasyarakat dan pergaulan, tapi tidak ada kejujuran
Begitulah telah menjadi tradisi kehidupan manusia
Bahkan telah menjadi budaya sepanjang manusia
Indahkah hidup begini?
Di dalam memerlukan orang lain, tapi curiga
Di dalam bergaul, bimbang sahaja
Di dalam menghadapi kehidupan, ketakutan memburu kita
Orang lain pula, bimbang dengan kita
Dengan kita orang pun takut juga
Macam kita curiga dan takut kepada mereka
Beginilah manusia berhadapan dengan kehidupan
Jiwa tidak pernah terasa tenang
Kerana banyak sangat yang menakutkan
Akibat tidak mengikut syariat Tuhan
[Continue reading...]

Bekalan Hidup Akhirat

Akhirat negara kehidupan yang kedua selepas dunia
Di sana tempat tinggal yang kekal abadi
Susah dan senang di sana ditentukan oleh kehidupan di dunia
Berhati-hatilah hidup di dunia agar di sana tidak derita dan merana
Di sana hanya ada dua tempat Syurga dan Neraka
Orang-orang yang bertaqwa ke Syurga, orang-orang fasik dan zalim ke Neraka
Carilah bekalan dengan sifat taqwa untuk kesenangan di sana
Tidak ada sifat taqwa Nerakalah padahnya tempat tinggal yang terseksa
Berhati-hatilah hidup di dunia yang tidak lama
Buatlah bakti kepada Allah Taala dan makhluk-Nya
Janganlah jadi manusia yang lalai dan perosak
Di Akhirat kelak tidak mampu menanggung azab dan sengsara
Cintailah Allah takutilah kepada-Nya, dan cintailah makhluk-makhluk-Nya
Hendaklah jadi manusia yang taat dan setia kepada Allah
Tidak mengapa berhadapan dengan sedikit kesusahan yang sementara
Agar terlepas daripada kesusahan di Akhirat buat selama-lamanya
Tebuslah kesusahan yang tidak lama di Akhirat sana
Dengan kesusahan yang sedikit yang tidak pula lama
Biarlah sesal dahulu, kerana sesal kemudian tidak lagi berguna
Carilah bekalan untuk Akhirat dengan sesungguh-sungguhnya
[Continue reading...]