Mari Kita Mengenal Tuhan




Tuhan wujud Nya pada azali lagi.

Wujud Nya sedia ada kerana Dia bukan dicipta. Bahkan Dia pencipta segala yang ada.

Dia kekal sepanjang masa, dahulu lagi sudah ada, azali namanya sekarang pun ada, di masa depan pun ada tidak ada akhirnya. Ertinya Dia kekal abadi buat selama-lamanya.

Zat-Nya tidak serupa dengan segala yang ada atau dengan makhluk-Nya.
Dia bukan jasad, bukan berketul, bukan jirim, bukan panjang, bukan pendek.
Tidak serupa sama ada yang dapat dilihat mahupun yang tidak dapat dilihat oleh mata.

Kalau begitu, tidak mampu dapat dilihat oleh mata mustahil juga dapat dikhayalkan oleh hati.Tidak dapat difikirkan oleh akal.

Dia tidak bertempat, tidak mengambil ruang, tidak ada di dalam pihak, tidak di dunia, tidak juga di Akhirat, tidak terlibat dengan masa. Tidak terlibat dengan malam dan siang.

Tiada siapa yang menjadikan Nya, kerana Dia pencipta semuanya.

Tidak berhajat kepada zat tempat berdiri, kerana Dia bukan sifat. Dia adalah Zat, zat tentulah tidak berdiri pada zat. Yang berdiri kepada zat itu adalah sifat. Tapi Dia adalah Zat yang mempunyai sifat yang sempurna yang terlalu banyaknya tidak dapat dihingga.

Hidup-Nya bukan dengan nyawa. Bukan dengan darah dan daging, bukan dengan udara dan air seperti makhluk-Nya.

Tuhan adalah Esa, tidak boleh dibelah bagi kerana Dia bukan jasad, bukan berketul bukan boleh dirasa, tidak juga rohaniah.

Dia Maha Berkuasa, kuasa Nya tidak terbatas mampu buat apa sahaja kuasa-Nya azali lagi.

Dia juga berkehendak, kehendak-Nya terjadi, kehendak-Nya qadim lagi azali. Apabila Dia berkata "jadilah", terus jadi.

Maha Hebatnya Tuhan.
Ilmu-Nya meliputi semua yang ada mahupun yang tiada lagi, azali macam Zat-Nya juga.

Mengetahui yang dahulu mahupun yang kemudian, tidak tersembunyi sedikit pun sekalipun sebesar habuk.

Dia mendengar tidak dengan suara, tidak dengan telinga, jauh dekat serupa sahaja.

Dia melihat tidak dengan mata, yang terlindung mahupun tidak semuanya dilihat-Nya. Yang jauh dan yang dekat semuanya sama sahaja.

Dia juga berkata-kata, Kalam namanya, tidak berhuruf, tidak berlafaz, tidak bersuara, tidak ada dahulu, tidak ada yang kemudian seperti bahasa makhluk-Nya.

Dia mempunyai sifat-sifat yang sempurna tidak terhingga banyaknya, di sinilah kebesaran dan keagungan-Nya.

Dia adalah pemberi rahmat dan nikmat. Dia juga mendatangkan bala bencana.

Memberi hidayah dan menyesatkan, menghidup dan mematikan. Mengadakan dan mentiadakan dengan hikmahnya.

Kerana itulah Dia wajib dan patut disembah disucikan, dipuji, dibesar dan diagungkan. Dia juga patut ditakuti dan dicintai. Tuhan adalah segala-galanya. Setiap makhluk perlu kepada-Nya. Dia tidak perlu kepada makhluk-Nya.

Jadikanlah Dia tempat rujuk kalau mahu selamat dunia akhirat. Rujuklah kepada-Nya, kita akan selamat.

Menjelang Zuhur & Asar
17-06-2003
[Continue reading...]