Bangsa Yang Sudah Rosak

Share it Please
 
Satu bangsa yang sudah rosak jiwanya
Nafsu serakahnya tidak dapat dikawal
Di waktu itu bukan mudah dibaikpulihkan semula
Bangsa yang jiwanya sudah rosak ilmu akan disalah guna
Kecerdikannya akan dijadikan jerat dan perangkap mangsa tipuannya
Jawatan dan pangkat  yang diberi itu adalah perniagaannya untuk mencari untung
Atau ia akan menjadikan ladang atau aset tempat mencari kekayaan
Setiap amanah yang diberi dianggap ghanimah
Yang tidak ada ilmu atau jawatan, dia akan buat apa sahaja,
yang penting adalah kesenangan
Mencuri, tipu, bunuh, rompak, pedaya dan lain-lain cara
Yang penting boleh cari makan, boleh hidup, boleh senang,
sekalipun mengorbankan kesenangan orang
Di waktu itu kasih sayang musnah, perpaduan punah
Hidup macam haiwan, macam syaitan, yang kuat menindas yang lemah
Curiga-mencurigai satu sama lain pun datang
Prejudis yang tidak dapat dikawal perasaan
Duduk di tengah masyarakat terasa seorang
Duduk seorang bimbang, duduk di tengah masyarakat terpaksa kerana keperluan
Indahnya tiada, curiga-mencurigai tetap ada, senyum hanya dibuat-buat
Percaya-mempercayai sudah tidak ada
Aduh seksanya hidup bermasyarakat
Bergaul sesama manusia, macam bergaul dengan binatang buas
Sentiasa waspada, curiga, sentiasa awas, berjaga-jaga
Begitulah kalau satu bangsa jiwanya sudah rosak
Mereka terperangkap dengan ketakutan sesama manusia
Siapalah yang hendak memulihkan jiwa mereka?!
Ia perlukan seorang pemimpin yang cukup hebat wibawanya
Pemimpin yang dibantu oleh Allah mendidik dan memimpin mereka
Itu pun mungkin memakan masa berpuluh-puluh tahun juga lamanya

No comments:

Post a Comment