Kita Adalah Penghibur

Share it Please
Kita sebenarnya tidak begitu mesra dengan Islam. Lebih tepat dikatakan kita tidak mesra dengan Tuhan. Maksud tidak mesra tersebut ialah setiap hari masa kita banyak terbuang. Kita sangat menjaga sembahyang dan puasa tetapi tidak menjaga hidup yang di luar ibadah tersebut. Mengapa? Selepas sembahyang dan puasa, masa begitu panjang. Masa itulah yang kadang-kadang kita sia-siakan. Kalaupun kita dapat membuat kebaikan di masa itu, kadang-kadang kebaikan itu berlaku secara kebetulan sahaja, secara tidak diniat, tidak dirancang dan tidak diduga. Itu pun kalau kita mahu buat.
Sesetengah orang tidak mahu melakukan kebaikan sekalipun berpeluang. Bagi orang yang mahu berbuat, kebaikan itu dibuatnya tanpa dirancang pun. Contohnya, selepas sembahyang subuh kita pun keluar. Mungkin bagi sesetengah orang, petang atau malam baru balik ke rumah semula. Kalau pun dia boleh buat baik sepanjang masa selepas sembahyang, itu hanya kerana terserempak. Maksudnya  waktu berjalan, terserempak dengan orang susah, kita pun memberi bantuan. Kita memberi kerana dia minta. Memang dapat pahala, tetapi kebaikan itu tidak dirancang.
Sedangkan orang yang begitu mesra dengan Tuhan, bangun tidur sahja, dia sudah niat untuk membuat bermacam-macam kebaikan dari bagun tidur hingga tidur semula pada malam nanti. Dia mencari-cari pasal untuk membuat kebaikan. Ertinya kebaikan itu dirancangnya. Dari bangun tidur dia sudah fikir apa lagi kebaikan yang Tuhan suka, yang dia hendak buat. Orang soleh dahulu terutamanya yang tidak ada kerja khusus, dia keluar rumah, mencari-cari kebaikan apa yang akan dilakukannya. Contohnya dalam berjalan-jalan, dia terjumpa sebuah rumah yang tangganya hendak patah, dia akan betulkan. Nampak pula atap rumah orang bocor, dia meminta izin untuk dibaiki. Kalau ke pergi ke masjid yang kotor, dia akan bersihkan. Dia memang sudah rancang dan niat hendak membuat sebanyak mungkin kebaikan. Bila berjalan lagi, terjumpa orang sedang menanam pokok, dia meminta izin untuk tolong merumput atau membubuh baja. Di tempat makan pula, dia belanja orang makan. Begitulah orang soleh zama dahulu. Sengaja ‘mencari pasal’ untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin. Itulah orang yang mesra dengan Tuhan. Kebaikan itu sudah mendarah daging. Bukan macam kita yang hanya buat baik waktu terserempak. Jauh bezanya gaya hidup salafussoleh dengan kehidupan kita.
Kita hendak berkhidmat sesuai dengan tujuan Tuhan utuskan manusia ke dunia ini iaitu sebagai hamba. Selain beribadah untuk Tuhan, kita perlu berkhidmat dengan manusia. Tamsilannya seperti hamba-hamba yang baik bekerja di Istana Raja. Raja itu mereka hormat dan muliakan. Tentu berbeza layanan hamba kepada raja dan terhadap rakyatnya. Dengan raja, dia hormat dan besarkan. Dengan rakyat, dia melayan dengan baik. Para hamba ini sentiasa menghiburkan para tetamu atau rakyat yang datang ke Istana Raja kerana itu yang raja suka. Jadi di sini baru kita faham, hamba raja membesarkan raja, di sudut lain menghiburkan raja.
Tuhan utus kita sebagai hamba. Kalau begitu Tuhan itu perlu dibesarkan kerana Dia Maha Besar. Tuhan perlu diagungkan kerana Dia Maha Agung. Tuhan perlu disucikan kerana Dia Maha Suci dari segala ciptaanNya.
Menjadi hamba itu ertinya menjadi penghibur. Jadi perlu dicari-cari jalan untuk menghiburkan orang. Hiburan itu bukan nasyid sahaja. Kalau bawa kereta di jalan raya, berilah laluan pada orang sekalipun itu jalan kita. Orang yang bersalah dengan kita, cepat kita maafkan. Itu lebih mahal daripada memberi makan. Sebab orang yang bersalah itu takut kalau kita berdendam. Kalau kita maafkan, bukankah itu hiburan untuknya? Kalau kita belanja satu dua orang setakat yang kita mampu, tentu terhibur orang. Jumpa orang susah, beri seringgit seorang pun, mereka akan terhibur. Kalau kita bersalah, kita pergi minta maaf, itu akan menghiburkan orang yang kita bersalah terhadapnya.
Kadang-kadang kita salah faham tentang istilah hamba Tuhan. Kalau kita faham apa hamba raja buat, kita kiaskan sahaja. Kita lihat ayat Quran yang bermaksud, “Tidak aku jadikn manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”, tetapi kita tidak faham peranan hamba. Sebab itu bila dikatakan hamba, peranannya terbahagi dua iaitu hablumminallah dan hablumminannas. Yang hablumminallah kita faham, tetapi hablumminannas, kita samar-samar.
Sepatutnya sesama makhluk, kita jadi penghibur. Itulah peranan hamba. Tetapi adakah kita sudah menjadi penghibur? Kebanyakan kita menyusahkan orang. Kita cacatkan hati orang lain, orang cacatkan hati kita. Kita sakitkan hati orang dan orang sakitkan hati kita. Kita mengganggu perasaan orang dan sebaliknya. Beginilah dunia hari ini. Manusia tidak berperanan sebagai penghibur. Sehingga di sesetengah tempat itu, kita hendak bergaul tidak kena, tidak bergaul pun tidak kena juga. Tidak mungkin kita hendak hidup seorang diri. Bila bergaul semuanya menyusahkan kita. Sesetengah orang sombong, ada yang tidak pedulikan orang. Sampai kita hendak jumpa manusia pun takut. Orang hendak jumpa kita pun takut. Sedangkan kita tidak boleh hidup seorang kerana keperluan hidup kita, orang siapkan. Manalah kita mampu untuk jadi petani, kemudian jadi nelayan dan buruh kasar pula. Sebenarnya kita perlukan orang dan orang lain perlukan kita. Tetapi apa yang berlaku, dalam kita hendakkan keperluan dipenuhi, banyak hati yang sakit hingga sakit jiwa dibuatnya. Orang tidak hiburkan kita dan begitu juga sebaliknya.
Nampaknya peranan manusia sebagai hamba itu telah ditukar. Cuba lihat bagaimana Rasulullah menghiburkan orang. Baginda hiburkan orang yang memusuhinya. Sangat mencuit perasaan. Rasulullah itu bapa penghibur, hingga musuh sendiri dihiburkannya. Kita sudah tukar peranan daripada menjadi penghibur kepada menyusahkan orang. Tafsiran ayat tentang peranan sebagai hamba sudah tidak tepat.
Jadi mulai sekarang, kita perlu fikirkan bagaimana untuk menjadi penghibur? Samada orang hendak hiburkan kita atau tidak, itu tanggungjawab mereka. Kalau mereka tidak tunaikan tanggungjawab mereka, itu hal mereka. Tetapi kalau kita tidak hiburkan orang, itu satu kesalahan.
Hakikat manusia sebagai hamba itu cukup jelas di sini. Kita sudah dilatih dengan sekularisma sehingga kita dibentuk menjadi tuan di bumi ini, bukan menjadi hamba. Perasaan kita adalah perasaan tuan. Apakah kita mampu menukar watak dan sikap kita sehingga mampu menjadi hamba yang menghiburkan? Yuk! :)
 Jadilah penghibur kepada manusia agar kuat jiwa mereka. Dengan ilmu-ilmu yang berguna, dengan semangat-semangat membangunkan jiwa. Siapa menjadi penghibur kepada manusia, Allah Ta’ala akan hiburkan mereka di dalam syurga. Dengan syarat IMAN MENJADI ASAS, juga syari’at menjadi perjalanan hidupnya.
 
Create your own banner at mybannermaker.com!

No comments:

Post a Comment