Aku Sedih Kerana Tidak Dapat Membela

Share it Please
Tuhan! Aku rasa sedih ramai orang di waktu ini sudah tidak beragama
Tapi aku tidak dapat menyedarkan
Dan tidak mampu menginsafkannya
Aku susah hati ramai orang yang kelaparan
Tidak ada apa yang hendak dimakan
Aku tidak dapat memberi mereka makan
Tuhan! Jiwaku sedih banyak orang terlantar kesakitan
Namun aku tidak dapat merawat dan membantunya
Jiwaku menderita ramai orang tidak berpakaian
Kerana aku tidak mampu memberi mereka pakaian
Tuhan! Jiwaku terseksa ramai orang yang terzalim
Sedangkan aku tidak dapat membelanya
Ramai orang yang menzalim, aku tidak dapat menahannya
Tuhan! Berapa ramai anak-anak yatim,
Fakir miskin dan janda-janda yang terbiar,
Di dalam semua hal
Aku tidak dapat membelanya dan mengurusnya
Mereka setiap masa menunggu pembelaan
Namun demikian tidak kunjung tiba
Berapa ramai orang-orang tua yang terbuang
Keluarga mereka pun sudah tidak mempedulikan mereka
Aku tidak tahu bagaimana hendak membelanya
Kerana aku juga tidak ada tenaga dan kuasa
Tuhan! Itulah di antara yang aku rintihkan
Masalah inilah yang selalu aku renung dan menungkan
Tapi aku sendiri pun tidak dapat mengadakan jalan penyelesaian
Adakalanya aku menangis bersendirian
Terutama menjelang tidur di waktu malam
Kerana aku tidak dapat menjadi pembela kepada mereka semuanya
Aduh! Sedihnya aku. Aduh! hibanya hatiku
Tuhan! Apa yang berlaku pada mereka janganlah aku dipersalahkan
Lebih-lebih lagi jangan Engkau bertindak terhadap aku kerana terbiarnya mereka
Aku memohon maaf dan ampun kerana tidak dapat membela mereka
Berilah aku kekuatan agar aku dapat menjadi pembela
Ataupun Engkau datangkanlah pembela agar masalah mereka selesai

No comments:

Post a Comment